Pemandu teksi sokong SPAD isu kenaikan tambang
Tidak puas hati dengan bantahan beberapa NGO dan ahli politik terhadap kenaikan tambang teksi, kira-kira 17 persatuan pemandu teksi melakukan himpunan secara aman bagi menyokong pengumuman kenaikan tersebut hari ini.
Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter, Amran Jan berkata, kenaikan tambang teksi yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) merupakan satu keputusan yang tepat serta dapat mengurangkan beban pemandu teksi yang majoritinya bergaji kurang RM1,500 sebulan.
"Kami bukan makhluk asing yang turun ke bumi dan terus bawa teksi. Kami juga manusia, ada tanggungan yang perlu kami laksanakan. Dalam masa yang sama kami turut menanggung beban kos penyelenggaraan teksi yang tinggi.
"Jika kerajaan nak kekalkan harga sekarang, ia tidak adil buat kami. Kami sudah terbeban keadaan sekarang, dan kos perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan untuk teksi kami akan bertambah. Kami juga rakyat Malaysia, kami bukan orang luar. Tidak adil kerajaan layan kami begini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kerajaan tidak boleh menarik semula pengumuman yang dibuat SPAD kerana ada antara pemandu teksi yang sudah menukar meter kenderaan mereka kepada meter baharu.
"Ada antara kami sudah tukar (meter teksi) dan laksana kadar baharu tersebut. Untuk tukar meter sahaja sudah ambil masa dari empat jam hingga lapan jam dan melibatkan kos sehingga RM161 untuk satu meter teksi. Kalau tarik balik pengumuman tersebut, macam mana nanti?" katanya lagi.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 19 Mac lalu mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.
Bagaimanapun Pemuda Umno pada kelmarin menyatakan bantahan terhadap kadar kenaikan tambang teksi dan bas ekspres.
Ini kerana menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan pergerakan itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin, sistem pengangkutan awam di negara ini masih belum berada pada tahap yang memuaskan.
Menjawab kenyataan Nazir Hussin, Amran bagaimanapun berkata, jika kenaikan tersebut diteruskan, ia dapat memberi peluang kepada pemandu teksi untuk menaik taraf tahap keselesaan dan keselamatan pengguna.
"Jika kenaikan diteruskan, sedikit penambahan dari kadar tambang itu akan diguna bagi menambah baik keadaan teksi yang sedia ada. Bukan kami tak mahu buat selama ini, cuma kami tiada peruntukan yang mencukupi," jelasnya.
Sumber:sinar harian Sumber gambar :fb-teksi
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih