Memaparkan catatan dengan label e-hailling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label e-hailling. Papar semua catatan

Grab bergabung dengan OVO untuk bersaing dengan Gojek

Gojek
Grab-Gojek

JAKARTA: Grab menerusi SoftBank sedang berunding dengan Ant Financial bagi melaksanakan penggabungan dengan OVO, firma pembayaran digital Indonesia milik Grab dengan platform e-dompet Indonesia, DANA dalam usaha mengukuhkan kedudukan Grab bersaing dengan Gojek.

Rundingan penggabungan itu susulan pengumuman SoftBank Group Corp untuk melabur AS$2 bilion di Indonesia menerusi Grab pada Julai lalu. Ketika ini Ant Financial memiliki DANA secara usaha sama dengan Elang Mahkota Teknologi (Emtek).

Reuters yang memetik sumber rapat perkara itu berkata, langkah itu bakal menyaksikan menyaksikan Grab mengambil alih kepentingan majoriti dalam Ant Financial supaya DANA dapat digabungkan dengan platform OVO. Katanya, pengambilalihan OVO-DANA itu dijangka dapat mewujudkan persaingan di pasaran pembayaran dalam talian Indonesia bernilai berbilion dolar dikuasai Gojek ketika ini.

“OVO dan Gojek kini bersaing merebut kedudukan teratas dalam penguasaan pasaran pembayaran digital sejak 2018, manakala DANA tidak jauh ketinggalan di belakang mereka.

“Ketika ini, Grab dan Gojek muncul sebagai dua jenama syarikat pemula utama berprestasi tinggi di Asia Tenggara dengan nilai mencecah AS$14 bilion bagi Grab manakala Gojek pula AS$10 bilion,” kata sumber itu.

Grab dan Gojek bersaing dalam gelanggang yang sama terutama dalam perkhidmatan kewangan, e-dagang, perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan. "Ia sebahagian pertembungan merebut pasaraan antara Grab-Gojek," kata sumber.

Rancangan itu turut membuktikan persaingan industri pembayaran digital Indonesia yang sengit menjejaki gelombang pasaran e-dagang negara itu yang memiliki lebih 260 juta penduduk. Grab dan OVO bagaimanapun enggan mengulas, manakala DANA menegaskan syarikat itu tidak akan melayani spekulasi cakap-cakap pasaran.

Sumber yang dipetik Reuters bagaimanapun enggan dinamakan kerana rundingan itu masih di peringkat awal.

Emtek, Ant Financial, dan SoftBank juga tidak memberikan maklum balas apabila diminta pihak Reuters.
- Reuters
 sumber:berita harian.
Read More

Kabinet lulus konsep e-hailing motosikal

gojek
Gojek

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan kelulusan kabinet terhadap konsep perkhidmatan e-hailing motosikal diperkenalkan di negara ini tidak semata-mata bermaksud meluluskan khidmat Gojek, syarikat operator e-hailing motosikal dari Indonesia.

Justeru itu, menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata apabila kerangka undang-undang mengenai perkhidmatan itu diluluskan Parlimen, mana-mana syarikat operator perkhidmatan itu boleh beroperasi di negara ini. 

"Ramai yang keliru dengan isu ini, kabinet bukan beri kelulusan kepada Gojek, tapi memberi kelulusan konsep perkhidmatan e-hailing motosikal atau teksi motosikal. 

"Kalau kita sudah benarkan (lulus di Parlimen) perkhidmatan itu, mana-mana syarikat yang nak beroperasi perlu ikut kerangka undang-undang yang kita sediakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pelancaran buku berjudul "My Journey by Bus" di sini hari ini.

Loke mengulas dakwaan mengapa jemaah menteri meluluskan Gojek, syarikat operator e-hailing motosikal dari Indonesia ke pasaran negara dan bukannya Dego Ride, syarikat tempatan yang diharamkan dari beroperasi sekitar tahun 2017.

Loke berkata Gojek hanya antara syarikat perkhidmatan e-hailing motosikal dan kementerian juga menggalakkan syarikat tempatan menceburi bidang itu selepas undang-undang berkaitan diluluskan.

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu di negara ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata selepas kerangka undang-undang itu siap, kementeriannya turut memerlukan tempoh percubaan untuk menguji sistem perkhidmatan berkenaan.

"Kita juga perlukan `trial period' untuk uji perkhidmatan itu. Nak tukar (pinda) undang-udang bukan mudah, kena pergi (bahas) di Parlimen kerana ada keperluan untuk pinda akta berkaitan termasuk Akta Pengangkutan Darat dan akta-akta lain," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan isu pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan melibatkan kenderaan persendirian 2,000 cc dan ke atas di pejabat pos di Sabah, Sarawak, Langkawi dan Labuan, Loke mahu keputusan itu dikaji semula.

Katanya, keputusan itu akan membebankan rakyat yang menetap di kawasan pedalaman.

"Ini kerana hanya bandar besar khususnya di Sabah dan Sarawak mempunyai pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang pastinya menyukarkan pembaharuan cukai jalan masyarakat luar bandar," katanya.

Minggu lepas, tular di media sosial mengenai arahan Pos Malaysia untuk memberhentikan urusan pembaharuan cukai jalan di pejabat pos Sarawak, Sabah, Pulau Langkawi dan Labuan, berkuat kuasa mulai 1 Sept.

Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

-- BERNAMA
Read More

Gojek:Teliti aspek keselamatan kepada pengguna

Gojek
Gojek

Cadangan membawa masuk perkhidmatan teksi bermotosikal atau Gojek seharusnya disambut baik namun dengan syarat ia perlulah diteliti daripada aspek keselamatan kepada pengguna.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perkhidmatan kenderaan berasaskan aplikasi telefon pintar memberi kemudahan kepada pengguna.

“Bukan sahaja sebagai pengangkutan manusia tetapi kini termasuk penghantaran makanan dan barangan. Saya percaya bahawa perhubungan merupakan faktor utama kemajuan. Negara ini pun dahulunya dimajukan oleh penjajah melalui pembinaan jalan raya, jalan kereta api dan pelabuhan.

“Negara ini telah pun maju dengan perhubungan digital. Rangkaian 4G boleh dihubungkan di dalam kampung-kampung. Namun kita terlupa bahawa perhubungan secara fizikal juga perlu.

“Sejak wujud kemudahan Grab dan Uber, timbul pelbagai perkhidmatan seumpama ini termasuk merangkumi penghantaran barangan dan makanan. Saya percaya ini perkembangan yang baik untuk memberi kemudahan kepada pengguna. Ia melibatkan kos yang murah serta penjimatan masa menunggu jika dibandingkan dengan sistem pengangkutan awam lain,”. Gojek juga ada ‘e-hailing’ untuk kereta, teksi, penghantaran makanan, barangan dan lain-lain perkhidmatan.

“Jika benar keseluruhan perkhidmatan ini boleh didapati, maka saya percaya persaingan yang timbul nanti akan memberi manfaat kepada pengguna. Jika melihat secara khusus kepada Gojek motosikal saya fikir perlu ada pertimbangan yang sewajarnya terhadap aspek keselamatan penumpang, terutama apabila terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya.

“Lazimnya motosikal ini sifatnya suka mencelah, menyelit di celah-celah kenderaan sewaktu kesesakan lalu lintas dan penumpang tidak boleh berbuat apa-apa bagi mengelak risiko seperti ini. Bagaimana pula dengan peraturan pengusaha perkhidmatan ini. Adakah mereka betul-betul tahu keutamaan keselamatan serta ada perlindungan insurans kepada pembonceng nanti?”.

Antara kerisauan lain yang perlu diambil kira ialah sekiranya perkhidmatan e-hailing motosikal ini benar-benar menjadi mudah, anak muda semuanya akan mengejar untuk menjadi penunggang motosikal Gojek sebagai cara senang membina kerjaya.

“Akhirnya mereka mengabaikan kepentingan pendidikan serta menolak peluang meneroka pekerjaan dan perniagaan yang lain. Ini mengingatkan kita bahawa 10 tahun lalu, pernah pekerjaan majoriti anak-anak muda ialah menjual kad tambah nilai telefon bimbit,”.
Read More

Gojek:Langkah kebelakang menteri belia

gojek
FB Muhammad Najib

Harap masih belum terlambat untuk into scene hal Gojek ini.
Pandangan aku mudah.

Jakarta sedari awal ada ojek atau teksi motorsikal. Kemudian ia dimodenkan menjadi e-hailing motorsikal dan muncul jenama seperti Gojek, diikuti pesaing lain seperti Grabbike.

Kuala Lumpur pula tidak pernah ada khidmat teksi motorsikal. Kerana tiada kebergantungan terhadap sistem pengangkutan awam yang primitif ini yang menjadikan Kuala Lumpur lebih cepat menerima pakai pengangkutan rel LRT, monorel atau MRT walaupun populasi KL jauh lebih rendah berbanding Jakarta.

Jadi bila kerajaan nak bawa masuk Gojek, ia langkah kebelakang. Pengangkutan awam KL ini boleh sahaja mencapai taraf Singapura, Hong Kong, Tokyo atau Melbourne tapi sebaliknya kita pilih untuk jadi seperti Jakarta, Manila, Ho Chi Minh City atau Bangkok dengan ojek, bajaj, tuk tuk, habal habal, songthaew atau jeepney mereka.

Sebab itu tindakan kerajaan dahulu menghalang e-hailing motorsikal seperti Dego dan sebagainya adalah betul. Ia bukti komitmen Bapa Pengangkutan Awam, Najib Razak yang mahu memodenkan pengangkutan awam ibu kota agar ia selesa dan selamat.

Kalau kita terima pakai perkhidmatan seperti Gojek, kerajaan dan perancang bandar akan selesa dalam kepompong sendiri dan tiada rasa terdesak menaik taraf pengangkutan awam. Itu salah satu faktor Jakarta baru dapat merasa MRT mereka sendiri.

Cakap-cakap ahli politik bahawa Gojek ini akan membasmi masalah rempit dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah tidak tepat pada pandangan aku.

Rempit ini masalah yang berlaku bukan kerana mereka tidak ada pekerjaan. Bersepah je rempit yang ada kerja sebenarnya. Kalau rempit tak bekerja itu ada kemungkinan sebab mereka masih belajar atau pun memang malas atau baru kena buang kerja. Yang selebihnya memang ada kerja dan berkemungkinan besar sekarang pun mereka sudah menjadi rider Grab Food atau Food Panda.

Dan kalau betul nak mewujudkan peluang pekerjaan, maka menteri belia perlu tanya diri sendiri adakah peluang pekerjaan yang mahu diwujudkan untuk golongan belia adalah sebagai penunggang teksi motorsikal? Kalau dulu kutuk BN dengan mengatakan bekerja sebagai pemandu Grab itu bukan satu peluang kerja yang berkualiti, takkan sekarang nak ubah pula dan kata bekerja sebagai rider Gojek itu satu peluang pekerjaan?

Seperkara lagi yang perlu kita ingat, naik motor ni bukanlah satu pilihan yang selamat. Sama ada kau melanggar atau dilanggar, dua-dua sakit. Macam kes mentimun dengan durian.

Mereka yang menunggang motor adalah atas faktor itu saja pilihan yang mereka ada. Kebanyakan atas sebab kekangan ekonomi. Hanya segelintir saja (macam pemilik superbike) yang naik motor kerana itu hobi mereka.

Tapi baik naik motor kerana ekonomi atau minat, kita kena sedar bahawa kematian atau kecederaan melibatkan motorsikal adalah tinggi. Dan angka ini boleh bertambah jika kita benarkan khidmat seperti Gojek di Kuala Lumpur. Bukan saja penunggang berisiko, pembonceng juga sama. Bezalah dengan rider Food Panda tergolek atas jalan. Yang sakit hanya dia dan makanan yang kau pesan.

Ya kalau di Jakarta khidmat Gojek atau Grabbike menjadi pilihan aku juga. Tapi rasanya tak perlu kita amalkan benda yang sama di Kuala Lumpur.

Cukuplah kita ada rider Grab Food dan Food Panda bersidai depan kedai makan, tak perlu kita tambah pula dengan rider Gojek bersidai sepanjang jalan macam di Jakarta.
Read More

MIROS kaji kesesuaian Gojek

gojek
Gojek

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menunggu laporan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung kesesuaian pelaksanaan teksi motosikal atau GoJek di negara ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata pihaknya sebagai agensi penguat kuasa undang-undang tidak mempunyai sebarang masalah berhubung cadangan perkhidmatan e-hailing terbaharu itu kerana ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Bagaimanapun, sebelum perkhidmatan itu dilaksanakan, kita minta kerajaan meneliti beberapa aspek berkaitan kesesuaian GoJek di negara ini termasuk di ibu negara yang pasti menjadi tumpuan perkhidmatan itu.

“Ini kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal paling ramai tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan, selain antara penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan dan Kementerian Pengangkutan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan undang-undang sebelum membenarkan perkhidmatan itu dijalankan seperti yang berlaku pada perkhidmatan sama “Dego-Ride’ yang diharamkan sebelum ini.

MIROS dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan akan menjalankan Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya Terhadap Kebolehlaksanaan Perkhidmatan Teksi Motosikal bermula hari ini hingga 7 September depan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof pula memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan supaya kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.
Read More

Dego Ride akan muncul kembali

Dego Ride
Dego Ride
Perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride menyifatkan kelebihan yang dimiliki sebagai syarikat tempatan merupakan bonus dalam usaha membantu warga tempatan untuk menjana pendapatan harian mereka.

Pengasas bersama Dego Ride, Afzan Lutfi berkata, sebagai syarikat tempatan, Dego Ride lebih memahami kehendak dan keperluan pelanggan di Malaysia.

“Saya melihat Dego Ride sebagai juara tempatan. Kami merupakan produk Malaysia dan kami bangga dengan itu.

“Kami memiliki kelebihan untuk lebih memahami pasaran tempatan dan juga keperluan pelanggan,”

Dalam pada itu, mengulas tentang kemunculan semula Dego Ride di pasaran, Afzan memberitahu, terdapat beberapa jalan untuk boleh diusahakan sama ada beroperasi secara sendiri atau menerusi jalinan kerjasama .

“Bagi Dego Ride, pelanggan kami boleh melanggan perkhidmatan yang disediakan dengan pantas dan pada masa sama boleh meningkatkan taraf hidup mereka yang ingin menjana pendapatan,” katanya.
Read More