Petekma:Pulihkan industri teksi
Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) berharap kerajaan Pakatan Harapan akan membawa perubahan positif dan memulihkan semula industri teksi negara.
Presidennya Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata pemandu teksi juga bersedia memperbaiki perkhidmatan mereka bagi membolehkan perhidmatan teksi kembali menjadi pilihan penumpang.
“Sebelum ini macam-macam cadangan yang kami kemukakan untuk penambahbaikan tetapi cadangan kami tidak diendahkan (oleh kerajaan terdahulu). Kalau ada bantuan hanyalah bantuan atau insentif yang sekadar bersifat ‘one-off’. Ia tidak memberi perubahan apa-apa pun.
“Jadi dengan adanya kerajaan baharu ini kami hendakkan satu perubahan yang baik supaya kami boleh berdaya saing semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham di ibunegara hari ini.
Dalam mesyuarat selama satu jam itu, beliau antara lain menyatakan pendirian Petekma yang mahu kerajaan mengharamkan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang disifatkan menjejaskan pendapatan mereka selama ini.
Katanya kerajaan perlu lebih prihatin terhadap nasib kira-kira 67,000 pemandu teksi seluruh negara memandangkan mereka adalah pemandu teksi terlatih dan lebih berkelayakan berbanding pemandu perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Mohd Syahrir berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan membubarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kerana menyifatkan suruhanjaya itu gagal melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya.
“Selama ini SPAD tidak banyak bantu kami. Sebagai pengawal selia dalam hal pengangkutan awam ia tidak berfungsi sebagai pengawal selia. Benda yang tidak dilesenkan (Uber dan GrabCar) diuar-uarkan sedangkan kami pemandu teksi diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih