Penguasaan DAP antara perlu diperhatikan
KUALA NERUS - Selain situasi semasa politik, kerajaan Terengganu menyifatkan penguasaan DAP antara perlu diperhatikan sebagai ancaman dan cabaran semasa yang memerlukan pendekatan lebih baik.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), didapati kebanyakan kerajaan negeri didominasi DAP, walaupun diketuai parti lain.
"Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, ketua dan Menteri Besar dari parti lain, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang paling mendominasi dalam kerajaan termasuklah di Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah Pantai Timur (Himpun) melibatkan tiga menteri besar di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, di sini malam tadi.
Ahmad Samsuri menyampaikan ucapan di hadapan ribuan hadirin yang memenuhi stadium diikuti Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam masa sama, Naib Presiden Pas itu juga kesal dengan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sengaja menimbulkan isu-isu sensitif dengan menyentuh sentimen kaum dan agama.
Katanya, setiap hari rakyat dihadapkan dengan pelbagai berita tidak pernah terfikir akan berlaku di Malaysia. Bahkan ada isu-isu sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan juga mencabar kewibawaan rakyat.
"PH mahu meratifikasikan ICERD, laungan hidup LGBT di Dataran Merdeka. Isu kematian saudara Adib dan rusuhan di kawasan kuil Mariaman.
"Kenyataan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak menggunakan bahasa Kebangsaan. Perebutan kuasa tiada henti. Politik fitnah dan lucah menjadi wirid dan zikir.
"Pertikaian terhadap tulisan jawi, pengusiran Dr Zakir Naik dan sebagainya. Ini antara isu-isu yang menyebabkan rakyat semakin 'fed-up' dengan kerajaan yang ada pada hari ini," katanya.
Katanya, ini tidak termasuk kekecewaan rakyat apabila janji manifesto yang ditawarkan sebelum PRU14 tidak ditunaikan hingga menyebabkan rakyat berasa tertipu.
"Rakyat semakin marah, terutamanya anak muda yang mengundi dalam PRU14 yang lepas kerana mahukan tol dihapuskan, minyak diturunkan, kos sara hidup diturunkan dan PTPTN ditangguhkan hingga gaji RM4,000.
"Akhirnya semua itu hanya tinggal keinginan sahaja. Mood rakyat pada kali ini mahu menukar kembali kerajaan PH dalam PRU15," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih