MyCC siasat Grab
KUALA LUMPUR: Malaysia meningkatkan siasatan anti monopoli ke atas firma e-hailing berpangkalan di Singapura, Grab Holdings Inc, yang mengukuhkan lagi usaha kerajaan untuk mengukuhkan persaingan dalam ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, berkata pengawal selia anti monopoli itu meningkatkan siasatannya ke atas syarikat pemula niaga berkenaan, yang mula diumumkan tahun lalu oleh Kementerian Pengangkutan.
Beliau enggan mengulas langkah spesifik yang diambil oleh suruhanjaya terbabit. Siasatan dibuat susulan pelbagai aduan bermula tahun lalu yang menuduh Grab mengamalkan monopoli selepas ia membeli operasi Uber Technologies Inc di Asia Tenggara.
Wakil Grab tidak memberikan maklum balas kepada e-mel yang dihantar bagi mendapatkan kenyataan.
Pesaing Grab, Gojek merancang untuk memasuki pasaran dengan motosikal, dengan pengurusan tertingginya bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur, bulan lalu.
Dr Mahathir berhasrat untuk menurunkan kos hidup rakyat Malaysia, janji utama yang membawanya kembali berkuasa tahun lalu.
Kerajaannya berusaha mendedahkan syarikat milik negara kepada persaingan dan memperkenalkan tender terbuka, antaranya dengan mengarahkan Telekom Malaysia Bhd (TM) berkongsi rangkaian kabel jalur lebar berkelajuan tinggi dengan pengendali lain.
Ia juga sedang menimbang untuk membenarkan pengguna memilih pembekal tenaga selain daripada syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB). Persaingan lebih tinggi akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi perniagaan.
“Ia menghantar isyarat kepada pelabur asing yang mahu memasuki Malaysia bahawa negara ini akan menjadi lapangan persaingan adil tanpa kelebihan tidak adil yang memihak kepada syarikat tertentu disebabkan hubungan politik atau sebab-sebab lain,” kata Ahli Ekonomi Asia di Capital Economics, Alex Holmes.
Sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mengatasi ketirisan dalam perbelanjaan awam, Iskandar berkata MyCC meneliti beberapa syarikat yang membida kontrak kerajaan di atas kemungkinan mengamalkan penipuan bidaan.
Mac lalu, ia berkata lapan syarikat membentuk kartel untuk memanipulasi bidaan tender membabitkan perkhidmatan teknologi maklumat untuk institusi berkaitan kerajaan.
Ia kes penipuan bidaan pertama dalam pemerolehan kerajaan sejak penubuhan suruhanjaya itu pada 2011.
-Bloomberg
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan
Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih