Pemandu teksi warga Iran dihukum gantung

Tiada ulasan
SHAH ALAM 22 Nov. - Seorang pemandu teksi warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 752.8 gram, tiga tahun lalu.

Mikaeil Safari Ali, 32, yang mendengar keputusan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu, dilihat tergamam dan terduduk di kandang tertuduh.

Terdahulu, Hakim Ahmadi dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah berpuas hati tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap kandungan beg (berisi dadah) tersebut," kata beliau.

Lelaki itu didakwa mengedar dadah tersebut di Laluan Keluar Kastam, Aras 3, Bangunan Terminal Utama (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 3.30 petang, 15 November 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Norazihan Adnan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil lapan saksi dan di peringkat pembelaan, hanya tertuduh tampil memberi keterangan.

Sumber:UM

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih