Vape:BN akan hilang sejuta undi anak muda

Tiada ulasan


KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan hilang undi dari anak muda sekiranya gagal menyelesaikan isu vape.

 Amaran itu diberikan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ridzuan Abdullah, susulan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan operasi rampasan vape baru-baru ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu campur tangan dalam menyelesaikan isu berkenaan bagi memastikan nama kerajaan tidak tercemar di mata pengguna vape.

“Kita mohon Perdana Menteri campur tangan dalam isu ini sebab hal ini melibatkan lebih daripada satu juta pengguna yang menggunakan vape ini.

“Kita mohon kerajaan pusat pastikan anak muda ini terbela, mereka berniaga kenapa nak menyusahkan mereka, kalau benda ini tidak selesai kerajaan sedia ada ini akan hilang satu juta undi, ini yang akan berlaku,” katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.

Mengulas lanjut, dia turut mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam meletak jawatan sekiranya gagal menyelesaikan isu ini dengan baik.



“Menteri buat keputusan rampas produk vape ini tanpa bukti yang kukuh. Kami amat kesal terhadap kementerian tersebut, kerana anak-anak muda Melayu telah belanja RM200 hingga RM300 ribu untuk memulakan perniagaan akhirnya dirampas dengan sekelip mata.

“Pihak kementerian sepatutnya mengikut standard operating procedure(SOP) sebelum bertindak, bukannya terus membuat serbuan serta merta,” katanya.

Dia bersama tiga badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Kementerian Kesihatan berhubung isu rampasan rokok elektronik itu baru-baru ini.

Antaranya NGO yang hadir Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Majlis Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRRIM).

sumber


Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih