Gojek Thailand di saman RM300

Tiada ulasan
gojek
teksi motosikal

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah tidak teragak-agak mengenakan saman terhadap mana-mana teksi motosikal Thailand jika didapati beroperasi lebih dua kilometer dari sempadan negara.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata bayaran saman RM300 perlu dilunaskan segera dan pesalah tidak akan dilepaskan, selagi belum menyelesaikannya.

“Sebenarnya, memang ada undang-undang antarabangsa membenarkan warga Thailand membawa kenderaan persendirian masuk dalam lingkungan dua kilometer di sempadan Malaysia yang kita panggil kawasan rayauan. Dalam lingkungan ini, tiada penguatkuasaan, sama ada untuk cukai jalan atau insurans dikenakan terhadap mereka.

“Bagaimanapun, selepas dua kilometer, JPJ akan kuatkuasakan undang-undang Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dan jika ada teksi motosikal ini melepasi kawasan dua kilometer serta membawa penumpang, mereka akan disaman dan perlu dibayar segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata, setakat ini pihaknya sudah mengesan beberapa teksi motosikal yang beroperasi melepasi sempadan sehingga ke pekan Changlun dan ada antaranya tidak memohon ICP.

Katanya, rondaan dilakukan setiap hari di sepanjang jalan Persekutuan dan Lebuhraya Utara Selatan arah Thailand serta Jitra bagi memastikan teksi terbabit tidak bermaharajalela.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, semua motosikal dan kenderaan penambang dari negara jiran diwajib mendapatkan cop jabatan itu setiap kali keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bermula 19 Februari lalu.

Katanya, sejak kekecohan berlaku sehingga memaksa pagar sempadan ditutup selama 15 minit pada 17 Februari lalu, pihaknya mengambil tindakan tegas bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Sebelum ini motosikal teksi ini hanya perlu dapatkan cop Imigresen ketika masuk, contohnya pada waktu pagi dan ketika pulang sebelah petang, tetapi susulan kekecohan tempoh hari, kedua-dua pihak berkuasa bersetuju mengenakan tindakan demikian. “Semua motosikal, kereta dan van penambang perlu cop pas sempadan atau pasport mereka setiap kali keluar masuk ICQS,” katanya ketika dihubungi BH.

Zuhair berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pihak berkuasa dua negara, sekali gus dapat mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah berkaitan.

Beliau tidak menafikan kelonggaran syarat imigresen sebelum ini sedikit sebanyak menyebabkan motosikal dan kenderaan penambang mengambil kesempatan membawa masuk individu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Jangan fikir kita berlembut dengan mereka, sekarang mereka tidak boleh sewenang-wenangnya keluar masuk ke Malaysia, walaupun mereka tak suka, tetapi undang-undang kita perlu dipatuhi,” katanya.

Berita Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih