Kenderaan pikap dan Van Thailand kebal undang-undang

Tiada ulasan
pickup

ALOR SETAR: Kenderaan pikap dari Thailand dilihat secara terang-terangan gagal mematuhi spesifikasi kenderaan bermotor di negara ini tetapi bagaimana ia melepasi pintu masuk sempadan dengan mudah, menimbulkan tanda tanya.

Malah, tindakan pemandu kenderaan berkenaan yang sengaja melanggar peraturan lalu lintas ketika berada di jalan raya negara ini mencetus andaian kononnya mereka kebal daripada dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Walaupun kemasukannya ke negara ini tertakluk kepada permit pengedaran antarabangsa (ICP) dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sistem pelaksanaan dokumen berkenaan seolah-olah tidak mampu mengekang pelanggaran undang-undang oleh geng pikap.

Selain pikap, pengangkutan seperti van penumpang dari Thailand juga dilihat membawa masuk pelancong dari negara itu walaupun ia secara terang-terangan menyalahi ICP diberikan.

Berdasarkan maklumat, sebanyak 44,181 kenderaan pelbagai jenis dari Thailand memasuki Malaysia melalui dua pintu sempadan masing-masing di Bukit Kayu Hitam, di sini dan Kota Putra di Durian Burung, tahun lalu. Daripada jumlah itu, 8,464 kenderaan membabitkan pikap.

Berpandukan kepada ICP dikeluarkan JPJ Kedah, purata 120 kenderaan Thai termasuk 20 pikap memasuki negara ini dalam sehari, manakala jumlah yang masuk secara tidak sah, tidak diketahui.

Kebanyakan pikap berkenaan memasuki sempadan Malaysia-Thailand, untuk menghantar barangan khususnya dalam memenuhi permintaan restoran masakan Thai atau lebih dikenali sebagai kedai tomyam di negara ini, dengan operasinya bukan sahaja di sekitar Kedah atau Perlis, sebaliknya menjangkau ke Pulau Pinang, Perak dan sekitar ibu negara.

Hasil pemerhatian mendapati pikap terbabit dipasang ruang simpanan tambahan yang cukup besar dengan ketinggian mencecah dua meter dipercayai untuk memaksimumkan keupayaan muatan.

Apa yang mengejutkan, pikap itu dipandu laju ketika menyusuri lebuh raya dengan kelajuan dikesan ketika itu melebihi 120 kilometer sejam (km/j), sekali gus menyukarkan usaha menjejakinya. Beberapa kesalahan dapat dikesan pada pikap berkenaan, terutama pada badan kenderaan itu yang diubah suai secara melampau, selain tindakan pemandu membawa muatan berlebihan sehingga hampir melimpah.

Paling membimbangkan, keadaan pikap yang membawa muatan lebih dan dipandu melebihi had laju itu dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan. Seorang pengguna jalan raya berusia dalam lingkungan 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Kiew mengakui operasi geng pikap cukup licik apabila gerak-geri mereka langsung tidak menghormati undang-undang negara ini.

"Pikap yang masuk ini, ada yang guna surat (ICP), tetapi ada juga yang tak guna. Depa (mereka) ada `kaki' (pemberi maklumat). Kalau pihak berkuasa buat operasi di Bukit Kayu Hitam, depa (mereka) masuk ikut Perlis atau Durian Burung. Ada juga yang masuk ikut Pengkalan Hulu di Perak.

"Kalau dah masuk, mereka boleh guna banyak laluan untuk ke lokasi yang nak dituju sehingga ke Perak dan Pulau Pinang. Ada juga yang berani sampai ke Kuala Lumpur untuk hantar barang, terutama ke kedai tomyam," katanya yang turut menyertai BH memantau geng pikap.

Kiew mengakui curiga dengan operasi geng pikap dari negara jiran itu yang berkemungkinan besar bukan sekadar membawa barangan keperluan kedai tomyam, sebaliknya ada kemungkinan menyeludup barangan berbahaya lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Isma Suhaimi Shariff, berkata istilah 'kebal' tidak wujud kerana semua kenderaan sama ada milik rakyat tempatan atau warga asing yang berada di jalan raya negara ini tertakluk kepada undang-undang ditetapkan.

"Kita tak boleh halang mereka nak ubah suai (pikap) sebab ia dibenarkan di negara asal mereka. Bagaimanapun, untuk berada di jalan atau lebuh raya kita, mereka perlu patuhi undang-undang yang kita tetapkan," katanya ketika diminta mengulas isu pikap Siam yang didakwa bebas melanggar undang-undang negara secara terbuka di jalanan.

Beliau bagaimanapun mengakui geng pikap itu cukup licik termasuk sering mengubah laluan sehingga menyukarkan tugas penguatkuasaan, sekali gus menimbulkan andaian kononnya pihaknya tidak bertindak. "Di Kedah, mereka ada kelebihan, terutama dengan jaringan laluan kampung yang cukup banyak. Mereka boleh bergerak ikut suka bagi mengelak bertembung penguat kuasa, sebelum terus ke destinasi. Pendek kata, kalau kita adakan operasi di Bukit Kayu Hitam, mereka masuk ikut Kota Putra, begitu juga sebaliknya.

"JPJ sendiri mempunyai kekangan dari segi keanggotaan menyebabkan sukar untuk kita pantau semua lokasi serentak, namun kita sering jalankan operasi untuk memantau kenderaan termasuk dari negara jiran khususnya pikap.

"Kita tak boleh guna kaedah sekatan jalan raya sahaja, sebab ia selalunya gagal berikutan geng pikap ini ada pemberi maklumat tersendiri. Jadi, kita guna kaedah ronda dan tahan. Jika terserempak, kita akan tahan dan periksa, seterusnya ambil tindakan jika ada kesalahan dikesan," katanya.

Isma berkata, antara Januari hingga Disember tahun lalu, rekod JPJ mengesahkan sejumlah 3,184 kenderaan Thai dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, dengan 212 daripadanya membabitkan pikap.

"Untuk tempoh antara Januari hingga Jun tahun ini pula, kita ambil tindakan ke atas 706 kenderaan Thailand termasuk 56 pikap yang mana semuanya membabitkan 1,574 kes pelbagai kesalahan.

"Biasanya setiap pikap yang ditahan melakukan sekurang-kurangnya tiga kesalahan iaitu membawa muatan secara bahaya, selain pengubahsuaian kenderaan seperti menambah pagar yang mana-mana setiap satunya boleh didenda RM300.

"Selain itu ia juga melanggar syarat ICP mengikut Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau enam bulan penjara. Itu tidak termasuk kes lain seperti tiada perlindungan insurans dan penggunaan cermin gelap yang turut dikesan pihaknya melalui penguatkuasaan dilakukan," katanya.

Berhubung ICP yang didakwa kurang berkesan dalam mengekang operasi kenderaan Thailand khususnya pikap, beliau mengakui hakikat itu, namun percaya penguatkuasaan permit kemasukan kenderaan (VEP) untuk semua kenderaan asing di pintu sempadan Malaysia-Thailand mampu menyelesaikan masalah itu.

"ICP ini tempoh laku tiga bulan. Ketika memohon ICP, mereka biasanya ikut undang-undang dan selepas itu, mereka buat ikut suka. Kadang-kadang mereka tak datang pun ke JPJ untuk memohon, cuma 'runner' yang buat semua kerja. Jadi, tugas JPJ nak pantau sedikit rumit. "Dengan pengenalan VEP, peranan JPJ di pintu masuk negara termasuk di sempadan Malaysia-Thailand lebih utama apabila setiap kenderaan keluar masuk direkod dalam sistem khusus yang diwujudkan.

"Bukan sahaja pematuhan spesifikasi ketika keluar masuk dapat dikawal, malah saman tertunggak kenderaan asing juga dapat dikesan melalui sistem sejurus ia melalui pintu masuk," katanya.
Berita Harian

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

Letakkan komen anda disini.Segala komen adalah dihargai.
Terima Kasih